Assalamualaikum…
Aku sebenarnya tidaklah begitu
aktif dalam dunia politik.
Walaubagaimana pun aku suka membaca dan melihat secara ilmiah tentang
dunia politik terutamanya politik Malaysia.
Tidak kiralah sama ada daripada
sebelah Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, aku akan selalu membaca apa yang
ditulis mengenai mereka tidak kiralah sama ada di media cetak mahupun media
elektronik.
Sejak pembubaran Parlimen pada
tanggal 3 April 2013 lepas, suasana politik di negara kita ini hangat
diperkatakan di sana
sini. Siapakah yang bakal menjadi calon,
siapakah yang akan disingkirkan, adakah kejutan akan berlaku, dan perbagai
cerita lagi.
Pada 10 April 2013, Suruhanjaya
Pilihan Raya akhirnya menetapkan tarikh 20 April 2013 adalah hari penamaan
calon, 30 April 2013 hari pembuangan undi awal (calon pos), dan 5 Mei 2013
sebagai HARI PEMBUANGAN UNDI.
Masa hari penamaan calon, pada
awalnya memang aku ada merancang untuk ke pusat penamaan calon Parlimen Sepang
di Dewan Sebaguna, Bandar Baru Salak Tinggi untuk mengambil foto dan buat
sedikit berita untuk dimuatkan dalam blog ni tapi hajat tersebut tak
kesampaian.
Malam sebelumnya, aku mendapat
khabar berita daripada rakan sekampung aku yang bapanya meninggal dunia. Aku agak terkejut dengan berita ni sebab baru
dua hari lepas aku berjumpa dengan abah kawan aku tu di masjid dan keadaan
kesihatannya tidak kelihatan sakit. Tapi
itu semua kehendakNYA. ALLAH S.W.T lebih
menyayanginya dengan menjemput abah kawan aku tu pergi menemui Yang Maha
Esa.
Sebenarnya aku mempunyai hubungan
yang rapat dengannya dan kami sering berbual terutamanya yang menyentuh soal
agama. Pemergian abah kawan aku ternyata
memberikan sedikit kesan pada aku.
Al-Fatihah buat pakcik Denan (nama sebetulnya Anuar).
Berbalik pada cerita asal
tadi. Jadi pada pagi hari penamaan calon
tu jenazah arwah pakcik Denan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung
Salak Tinggi dan habis sekitar jam 9 pagi.
Aku yang masih lagi ada perasaan terkejut ambil keputusan untuk tidak ke
pusat penamaan calon Parlimen Sepang tu.
Baca melalui internet dan televisyen ajerlah.
Petang tu bila aku baca di
internet, sekali lagi aku terkejut apabila dapat tahu Ketua Pemuda UMNO
Bahagian Sepang dan salah seorang AJK UMNO Bahagian Sepang bertanding atas
kerusi Bebas di Parlimen Sepang. Apa
sudah jadi? Walaupun aku tidak mengenali
secara rapat mereka berdua tetapi dengan apa yang berlaku ni seolah-olah macam
ada perasaan tidak puas hati. Hmm… susah aku nak cakap dan hanya mereka saja
yang tahu. Calon sebelah pembangkang pula
adalah dari parti PAS.
Bagi DUN kawasan aku pula iaitu
Sungai Pelek memang dari dulu lagi untuk BN ditandingi oleh MCA dan pembangkang
pula adalah DAP. Tahun ni ada dua lagi
calon yang bertanding atas tiket KITA dan Bebas.
Apa pun sebagai rakyat Malaysia
yang dilandaskan dengan sistem demokrasi, aku tetap akan menjalankan
tanggungjawab untuk mengundi calon-calon yang bertanding. Siapa yang dipilih itu adalah hak peribadi
aku tetapi adalah beberapa perkara yang diambil kira. Nak mengundi mestilah kita buat kajian dulu
siapa calon-calon yang bertanding tukan.
Begitu juga dengan parti-parti yang bertanding.
Undilah dengan bijak agar tidak
menyesal di kemudian hari.
P113: SEPANG
Datuk Seri Ir. Mohd Zin bin
Mohamed (BN)
Mohamed Hanipa bin Maidin (PAS)
Dato’ Suhaimi bin Mohd Ghazali
(Bebas)
Hanapiah bin Mohamad (Bebas)
N56: SUNGAI PELEK
Ng Chok Sin (BN)
Lai Nyuk Lan (DAP)
Zakaria bin Mohd Mukhtar (KITA)
Abdul Manap bin Shahardin (Bebas)
Barisan calon-calon parti Barisan Nasional untuk Parlimen Sepang dan DUN-DUN di bawahnya (Sg. Pelek, Dengkil, dan Tanjung Sepat)
Kredit foto: Facebook Saksila Lekir
Barisan calon-calon dari parti PAS dan PKR
Kredit foto: Facebook PAS Sepang
Parlimen Malaysia yang mendukung pemerintahan negara kita Malaysia