Selasa, 23 April 2013

PRU 13: PARLIMEN SEPANG DAN DUN SUNGAI PELEK



Assalamualaikum…

Aku sebenarnya tidaklah begitu aktif dalam dunia politik.  Walaubagaimana pun aku suka membaca dan melihat secara ilmiah tentang dunia politik terutamanya politik Malaysia.

Tidak kiralah sama ada daripada sebelah Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, aku akan selalu membaca apa yang ditulis mengenai mereka tidak kiralah sama ada di media cetak mahupun media elektronik.

Sejak pembubaran Parlimen pada tanggal 3 April 2013 lepas, suasana politik di negara kita ini hangat diperkatakan di sana sini.  Siapakah yang bakal menjadi calon, siapakah yang akan disingkirkan, adakah kejutan akan berlaku, dan perbagai cerita lagi.

Pada 10 April 2013, Suruhanjaya Pilihan Raya akhirnya menetapkan tarikh 20 April 2013 adalah hari penamaan calon, 30 April 2013 hari pembuangan undi awal (calon pos), dan 5 Mei 2013 sebagai HARI PEMBUANGAN UNDI.

Masa hari penamaan calon, pada awalnya memang aku ada merancang untuk ke pusat penamaan calon Parlimen Sepang di Dewan Sebaguna, Bandar Baru Salak Tinggi untuk mengambil foto dan buat sedikit berita untuk dimuatkan dalam blog ni tapi hajat tersebut tak kesampaian.

Malam sebelumnya, aku mendapat khabar berita daripada rakan sekampung aku yang bapanya meninggal dunia.  Aku agak terkejut dengan berita ni sebab baru dua hari lepas aku berjumpa dengan abah kawan aku tu di masjid dan keadaan kesihatannya tidak kelihatan sakit.  Tapi itu semua kehendakNYA.  ALLAH S.W.T lebih menyayanginya dengan menjemput abah kawan aku tu pergi menemui Yang Maha Esa. 

Sebenarnya aku mempunyai hubungan yang rapat dengannya dan kami sering berbual terutamanya yang menyentuh soal agama.  Pemergian abah kawan aku ternyata memberikan sedikit kesan pada aku.  Al-Fatihah buat pakcik Denan (nama sebetulnya Anuar).

Berbalik pada cerita asal tadi.  Jadi pada pagi hari penamaan calon tu jenazah arwah pakcik Denan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Salak Tinggi dan habis sekitar jam 9 pagi.  Aku yang masih lagi ada perasaan terkejut ambil keputusan untuk tidak ke pusat penamaan calon Parlimen Sepang tu.  Baca melalui internet dan televisyen ajerlah.

Petang tu bila aku baca di internet, sekali lagi aku terkejut apabila dapat tahu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepang dan salah seorang AJK UMNO Bahagian Sepang bertanding atas kerusi Bebas di Parlimen Sepang.  Apa sudah jadi?  Walaupun aku tidak mengenali secara rapat mereka berdua tetapi dengan apa yang berlaku ni seolah-olah macam ada perasaan tidak puas hati.  Hmm…  susah aku nak cakap dan hanya mereka saja yang tahu.  Calon sebelah pembangkang pula adalah dari parti PAS.

Bagi DUN kawasan aku pula iaitu Sungai Pelek memang dari dulu lagi untuk BN ditandingi oleh MCA dan pembangkang pula adalah DAP.  Tahun ni ada dua lagi calon yang bertanding atas tiket KITA dan Bebas.

Apa pun sebagai rakyat Malaysia yang dilandaskan dengan sistem demokrasi, aku tetap akan menjalankan tanggungjawab untuk mengundi calon-calon yang bertanding.  Siapa yang dipilih itu adalah hak peribadi aku tetapi adalah beberapa perkara yang diambil kira.  Nak mengundi mestilah kita buat kajian dulu siapa calon-calon yang bertanding tukan.  Begitu juga dengan parti-parti yang bertanding. 

Undilah dengan bijak agar tidak menyesal di kemudian hari.


P113: SEPANG

Datuk Seri Ir. Mohd Zin bin Mohamed (BN)
Mohamed Hanipa bin Maidin (PAS)
Dato’ Suhaimi bin Mohd Ghazali (Bebas)
Hanapiah bin Mohamad (Bebas)


N56: SUNGAI PELEK

Ng Chok Sin (BN)
Lai Nyuk Lan (DAP)
Zakaria bin Mohd Mukhtar (KITA)
Abdul Manap bin Shahardin (Bebas)


 Barisan calon-calon parti Barisan Nasional untuk Parlimen Sepang dan DUN-DUN di bawahnya (Sg. Pelek, Dengkil, dan Tanjung Sepat)
Kredit foto: Facebook Saksila Lekir

 Barisan calon-calon dari parti PAS dan PKR
Kredit foto: Facebook PAS Sepang

 Parlimen Malaysia yang mendukung pemerintahan negara kita Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan