Sabtu, 11 Mei 2013

BAHANG PRU 13 YANG SUDAH SEMINGGU BERLALU...



Assalamualaikum…

Hampir 2 minggu aku tak tulis apa-apa di blog ni.  Idea tu ada tapi tak tahulah mengapa.  Macam berat ajer nak menekan papan kekunci ni.  Apa-apa pun aku tulis jugalah hari ni.

Dah seminggu berlalu PRU 13.  Keputusannya pun dah diketahui umum.  Jadi tak payahlah aku tuliskan secara lengkap di sini.  Apa-apa pun tahniah kepada Barisan Nasional yang berjaya mengekalkan majoriti mudah dengan memenangi 133 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat menang 89 kerusi.

Kalau mengikut perbandingan dengan PRU 12 tahun 2008, nampaknya BN sudah kehilangan 7 kerusi di Parlimen.  Pasti ada yang tak kena tetapi seperti yang sedia maklum PRU 13 ini dipanggil Tsunami Cina atas dasar beralihnya undi kaum cina kepada DAP yang memenangi 38 kerusi Parlimen.

Kalau ditanya pada pendapat aku, gelaran Tsunami Cina tu dilihat tidak begitu sesuai kerana di negeri yang majoritinya pengundi melayu ada juga yang BN kehilangan kerusi contohnya di Terengganu.  Setuju atau tidak ini hanya pandangan aku.  Lagipun apabila timbulnya Tsunami Cina ini maka terbangkitlah pula satu perkara lain iaitu wujudnya isu perkauman.

Kat sini aku lebih berminat untuk menulis mengenai situasi di kawasan aku sendiri iaitu Parlimen Sepang dan DUN Sungai Pelek.  Tercatatlah satu sejarah di mana buat pertama kalinya Parlimen Sepang dan DUN Sungai Pelek telah jatuh ditangan pembangkang iaitu Pas bagi Parlimen dan DAP bagi DUN.  Begitu juga dengan DUN Tanjong Sepat yang terletak di bawah Parlimen Sepang juga jatuh ditangan PAS.  Hanya DUN Dengkil sahaja yang masih kekal di bawah BN.

Apa yang aku nampak faktor utama kekalahan calon BN di Parlimen Sepang iaitu, Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed ialah berlakunya pecah undi.  Seperti yang diketahui umum dalam Parlimen Sepang untuk PRU 13 kali ini terdapat dua calon Bebas.  Masalahnya di sini calon Bebas tersebut adalah dari kalangan ahli UMNO sendiri yang memegang jawatan di peringkat bahagian Sepang.  Dari situ sudah nampak pecahan undi akan berlaku.

Kenapa aku cakap macam tu?  OKlah… aku andainya semua yang mengundi kedua-dua calon Bebas itu adalah penyokong BN.  Jumlah undi yang diterima oleh BN ialah 35,670 manakala jumlah undi kedua-dua calon Bebas ialah 1,281.  Jika dicampurkan kedua-dua undi tersebut jumlahnya 36,951.  Jumlah undi yang diterima oleh calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin ialah 36,774 kurang 177 undi yang diterima oleh BN.

Inilah faktor utama yang aku nampak punca kekalahan calon BN di Parlimen Sepang.  Sebab-sebab lain tu aku tak pastilah.  Mungkin penduduk Sepang inginkan perubahan.  Mungkinlah…  Ini andaian aku sahaja.

Sejujurnya, kekalahan calon BN di Parlimen Sepang ni amat mengejutkan aku.  Ini kerana apa yang aku nampak jentera BN sudah memberikan komitmen 100% kepada parti terutamanya di kawasan aku.  Bukan sahaja dari segi pemasangan poster dan bendera BN tetapi dari segi pengurusan Pusat Daerah Mengundi dan juga Bilik Gerakan bagi setiap tempat cukup tersusun sekali.  Ini belum lagi aktiviti-aktiviti setempat.

Bak kata aku tadi, mungkin penduduk Sepang inginkan perubahan.  Bentuk perubahan yang macam mana hanya mereka yang tahu.  Apa-apa pun keputusan telah pun dibuat dan Sepang kini di bawah PAS.  Kita tunggu sahaja apa yang YB Hanipa ini buat untuk kawasan Sepang.  Jangan hanya turun padang masa PRU sahaja lepas ni susah nak nampak muka.  Rakyat dah berikan amanah, jalankanlah tugas dengan penuh rasa tanggungjawab.  Jawatan YB ni bukannya untuk glamour tapi amanah rakyat yang mesti dipikul.

Buat rakan-rakan di BN, persediaan dari sekarang perlulah dimulakan menjalang PRU 14 dalam tempoh 5 tahun lagi.  Buatlah post moterm mengenai kekalahan BN di Sepang ni.  Sudah tiba masanya kita tidak menunding jari kepada sesiapa.  Kenal pasti masalah dan dan carilah jalan penyelesaiannya.  Mungkin kali ini bukan rezeki BN untuk kembali memerintah Selangor tapi kita tak tahu pada masa akan datang.  Mungkin lebih baik dan mungkin juga lebih buruk.  Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

Wallahu Alam… 

Keputusan PRU 13 Parlimen Sepang

 Keputusan PRU 13 DUN Sungai Pelek


Keputusan PRU 13 DUN Tanjong Sepat
Keputusan PRU 13 DUN Dengkil

Tiada ulasan:

Catat Ulasan