Isnin, 12 Ogos 2013

Ramadhan pergi Syawal menjelma

Assalamualaikum...

Lama juga blog ini tidak bertulis.  Kebanyakannya aku menulis secara ringkas di Facebook ajer.  Hari ni tiba-tiba terasa nak kemaskinikan laman blog ni.

Masa aku menulis ni sudah masuk 6 Syawal 1434H.  Syawal adalah bulan kemenangan bagi umat Islam setelah kita berjuang dengan penuh tabah sepanjang Ramadhan.  Sesiapa pun pasti akan merasa sedih apabila meninggalkan bulan Ramadhan kerana kita belum pasti akan bertemu pada Ramadhan akan datang.  Aku sendiri dapat merasakan kesedihan itu tambahan pula pada hari terakhir Ramadhan aku berada di tempat kerja.

Kini Syawal pun menjelma.  Pasti kita dapat melihat di sana sini suasana penuh keriangan.  Pakaian penuh warna warni, sanak saudara kunjung mengunjungi, bermaaf-maafan sesama kita.  Ini semua suasana yang biasa kita lihat apabila Syawal tiba.  Semua orang bergembira tidak kira miskin atau kaya, tua atau muda.  Aku boleh dikatakan beruntung kerana aku dan isteri sekampung dan tempat kerja aku hanya 15km dari rumah.  Jadi memang tak merasalah suasana balik kampung beraya ni.

OKlah permulaan ni tak perlulah aku tulis panjang sangat.  Apa-apa pun SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.  MAAF ZAHIR DAN BATIN...


Bersama keluarga mertua di pagi 1 Syawal


Yang ini pulak sebahagian adik beradik aku bergambar dengan keluarga mak Usu kami.  Mak Usu ni adalah adik perempuan kepada arwah emak aku.

Sabtu, 11 Mei 2013

BAHANG PRU 13 YANG SUDAH SEMINGGU BERLALU...



Assalamualaikum…

Hampir 2 minggu aku tak tulis apa-apa di blog ni.  Idea tu ada tapi tak tahulah mengapa.  Macam berat ajer nak menekan papan kekunci ni.  Apa-apa pun aku tulis jugalah hari ni.

Dah seminggu berlalu PRU 13.  Keputusannya pun dah diketahui umum.  Jadi tak payahlah aku tuliskan secara lengkap di sini.  Apa-apa pun tahniah kepada Barisan Nasional yang berjaya mengekalkan majoriti mudah dengan memenangi 133 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat menang 89 kerusi.

Kalau mengikut perbandingan dengan PRU 12 tahun 2008, nampaknya BN sudah kehilangan 7 kerusi di Parlimen.  Pasti ada yang tak kena tetapi seperti yang sedia maklum PRU 13 ini dipanggil Tsunami Cina atas dasar beralihnya undi kaum cina kepada DAP yang memenangi 38 kerusi Parlimen.

Kalau ditanya pada pendapat aku, gelaran Tsunami Cina tu dilihat tidak begitu sesuai kerana di negeri yang majoritinya pengundi melayu ada juga yang BN kehilangan kerusi contohnya di Terengganu.  Setuju atau tidak ini hanya pandangan aku.  Lagipun apabila timbulnya Tsunami Cina ini maka terbangkitlah pula satu perkara lain iaitu wujudnya isu perkauman.

Kat sini aku lebih berminat untuk menulis mengenai situasi di kawasan aku sendiri iaitu Parlimen Sepang dan DUN Sungai Pelek.  Tercatatlah satu sejarah di mana buat pertama kalinya Parlimen Sepang dan DUN Sungai Pelek telah jatuh ditangan pembangkang iaitu Pas bagi Parlimen dan DAP bagi DUN.  Begitu juga dengan DUN Tanjong Sepat yang terletak di bawah Parlimen Sepang juga jatuh ditangan PAS.  Hanya DUN Dengkil sahaja yang masih kekal di bawah BN.

Apa yang aku nampak faktor utama kekalahan calon BN di Parlimen Sepang iaitu, Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed ialah berlakunya pecah undi.  Seperti yang diketahui umum dalam Parlimen Sepang untuk PRU 13 kali ini terdapat dua calon Bebas.  Masalahnya di sini calon Bebas tersebut adalah dari kalangan ahli UMNO sendiri yang memegang jawatan di peringkat bahagian Sepang.  Dari situ sudah nampak pecahan undi akan berlaku.

Kenapa aku cakap macam tu?  OKlah… aku andainya semua yang mengundi kedua-dua calon Bebas itu adalah penyokong BN.  Jumlah undi yang diterima oleh BN ialah 35,670 manakala jumlah undi kedua-dua calon Bebas ialah 1,281.  Jika dicampurkan kedua-dua undi tersebut jumlahnya 36,951.  Jumlah undi yang diterima oleh calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin ialah 36,774 kurang 177 undi yang diterima oleh BN.

Inilah faktor utama yang aku nampak punca kekalahan calon BN di Parlimen Sepang.  Sebab-sebab lain tu aku tak pastilah.  Mungkin penduduk Sepang inginkan perubahan.  Mungkinlah…  Ini andaian aku sahaja.

Sejujurnya, kekalahan calon BN di Parlimen Sepang ni amat mengejutkan aku.  Ini kerana apa yang aku nampak jentera BN sudah memberikan komitmen 100% kepada parti terutamanya di kawasan aku.  Bukan sahaja dari segi pemasangan poster dan bendera BN tetapi dari segi pengurusan Pusat Daerah Mengundi dan juga Bilik Gerakan bagi setiap tempat cukup tersusun sekali.  Ini belum lagi aktiviti-aktiviti setempat.

Bak kata aku tadi, mungkin penduduk Sepang inginkan perubahan.  Bentuk perubahan yang macam mana hanya mereka yang tahu.  Apa-apa pun keputusan telah pun dibuat dan Sepang kini di bawah PAS.  Kita tunggu sahaja apa yang YB Hanipa ini buat untuk kawasan Sepang.  Jangan hanya turun padang masa PRU sahaja lepas ni susah nak nampak muka.  Rakyat dah berikan amanah, jalankanlah tugas dengan penuh rasa tanggungjawab.  Jawatan YB ni bukannya untuk glamour tapi amanah rakyat yang mesti dipikul.

Buat rakan-rakan di BN, persediaan dari sekarang perlulah dimulakan menjalang PRU 14 dalam tempoh 5 tahun lagi.  Buatlah post moterm mengenai kekalahan BN di Sepang ni.  Sudah tiba masanya kita tidak menunding jari kepada sesiapa.  Kenal pasti masalah dan dan carilah jalan penyelesaiannya.  Mungkin kali ini bukan rezeki BN untuk kembali memerintah Selangor tapi kita tak tahu pada masa akan datang.  Mungkin lebih baik dan mungkin juga lebih buruk.  Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

Wallahu Alam… 

Keputusan PRU 13 Parlimen Sepang

 Keputusan PRU 13 DUN Sungai Pelek


Keputusan PRU 13 DUN Tanjong Sepat
Keputusan PRU 13 DUN Dengkil

Khamis, 2 Mei 2013

MASJID DIRAJA SULTAN ALAIEDDIN (BAHAGIAN 2)


Assalamualaikum...

Petang semalam aku menemani isteri ke pekan Banting untuk membeli buku-buku PSRA bagi sekolah KAFAnya.  Dah terlanjur ke sana hati aku tergerak untuk ke masjid yang sememangnya dah agak lama aku tak ziarahinya iaitu Masjid DiRaja Sultan Alaieddin, Kampung Bandar yang terletak bersebelahan dengan Istana Bandar.

Kali terakhir aku ke sana semasa melakukan cerapan rasmi anak bulan Ramadhan pada tahun 2010.  Klik kat sini...

Sebaik sahaja urusan isteri aku selesai terus kami ke sana. Memandangkan sekarang ni tengah musim pilihanraya jadi di kiri kanan jalan memang penuhlah dengan bendera parti-parti yang bertanding. Tambahan pula dari pekan Banting nak ke Masjid DiRaja ni melalui kawasan kampung.  Memang terasalah kemeriahan pilihanraya ni.

Sampai sahaja aku ke Masjid Diraja ni aku nampak ada hamparan permaidani di bahagian pintu masuk utama.  Ini mesti ada kerja menggantikan permaidani baru untuk masjid ni.  Yalah, kalau dah namanya pun Masjid DiRaja mestilah ianya sentiasa dijaga dan dibaiki apa juga kerosakan yang berlaku.

Maka terpaksalah aku menunaikan solat Asar di bahagian belakang memandangkan ruang solat utama tengah dipasang permaidani baru.  Tak mengapalah, yang penting kewajipan terhadapNYA mesti ditunaikan dan dah lama aku teringin nak menunaikan solat di sini.

Selesai sahaja menunaikan solat Asar terus aku meninjau keadaan dalaman masjid ini.  Kali terakhir aku ke sini dulu tidak berkesempatan dan kali ni peluang takkan dilepaskan untuk melihat sendiri senibina masjid ini yang sememangnya aku cukup kagumi.

Cuma kali ni gambar-gambar yang aku ambil tidaklah menggunakan DSLR.  Hanya menggunakan kamera telefon bimbit Sambung Note II berkapasiti 8 megapixel.  Jadilah daripada tak ada langsung.

Alhamdulillah, terubat sudah rindu aku pada Masjid Diraja ni.  Aku telah pun membuat rancangan pada bulan Ramadhan akan datang ni setidak-tidaknya sekali akan ke sini untuk menunaikan solat Terawih.  In Sya ALLAH...


 Bahagian minbar dari pandangan hadapan

Tiang-tiang berukiran halus yang terdapat di bahagian tepi ruang solat utama

 Ayat Kalimah Syahadah yang terletak di bahagian siling ruang solat utama

 Ruang pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan bahagian kiri masjid dengan ruang wuduk, tandas, dan rumah kakitangan masjid.

 Tiang-tiang berukiran halus yang terdapat di bahagian belakang ruang solat utama

 Bahagian mihrab masjid

 Mimbar masjid yang dipenuhi dengan ukiran seni halus dari sudut kiri masjid

Salah satu sudut yang terletak bersebelahan bilik Bilal

In Sya ALLAH aku akan ke sini lagi bila ada kesempatan.






Selasa, 23 April 2013

PRU 13: PARLIMEN SEPANG DAN DUN SUNGAI PELEK



Assalamualaikum…

Aku sebenarnya tidaklah begitu aktif dalam dunia politik.  Walaubagaimana pun aku suka membaca dan melihat secara ilmiah tentang dunia politik terutamanya politik Malaysia.

Tidak kiralah sama ada daripada sebelah Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, aku akan selalu membaca apa yang ditulis mengenai mereka tidak kiralah sama ada di media cetak mahupun media elektronik.

Sejak pembubaran Parlimen pada tanggal 3 April 2013 lepas, suasana politik di negara kita ini hangat diperkatakan di sana sini.  Siapakah yang bakal menjadi calon, siapakah yang akan disingkirkan, adakah kejutan akan berlaku, dan perbagai cerita lagi.

Pada 10 April 2013, Suruhanjaya Pilihan Raya akhirnya menetapkan tarikh 20 April 2013 adalah hari penamaan calon, 30 April 2013 hari pembuangan undi awal (calon pos), dan 5 Mei 2013 sebagai HARI PEMBUANGAN UNDI.

Masa hari penamaan calon, pada awalnya memang aku ada merancang untuk ke pusat penamaan calon Parlimen Sepang di Dewan Sebaguna, Bandar Baru Salak Tinggi untuk mengambil foto dan buat sedikit berita untuk dimuatkan dalam blog ni tapi hajat tersebut tak kesampaian.

Malam sebelumnya, aku mendapat khabar berita daripada rakan sekampung aku yang bapanya meninggal dunia.  Aku agak terkejut dengan berita ni sebab baru dua hari lepas aku berjumpa dengan abah kawan aku tu di masjid dan keadaan kesihatannya tidak kelihatan sakit.  Tapi itu semua kehendakNYA.  ALLAH S.W.T lebih menyayanginya dengan menjemput abah kawan aku tu pergi menemui Yang Maha Esa. 

Sebenarnya aku mempunyai hubungan yang rapat dengannya dan kami sering berbual terutamanya yang menyentuh soal agama.  Pemergian abah kawan aku ternyata memberikan sedikit kesan pada aku.  Al-Fatihah buat pakcik Denan (nama sebetulnya Anuar).

Berbalik pada cerita asal tadi.  Jadi pada pagi hari penamaan calon tu jenazah arwah pakcik Denan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Salak Tinggi dan habis sekitar jam 9 pagi.  Aku yang masih lagi ada perasaan terkejut ambil keputusan untuk tidak ke pusat penamaan calon Parlimen Sepang tu.  Baca melalui internet dan televisyen ajerlah.

Petang tu bila aku baca di internet, sekali lagi aku terkejut apabila dapat tahu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepang dan salah seorang AJK UMNO Bahagian Sepang bertanding atas kerusi Bebas di Parlimen Sepang.  Apa sudah jadi?  Walaupun aku tidak mengenali secara rapat mereka berdua tetapi dengan apa yang berlaku ni seolah-olah macam ada perasaan tidak puas hati.  Hmm…  susah aku nak cakap dan hanya mereka saja yang tahu.  Calon sebelah pembangkang pula adalah dari parti PAS.

Bagi DUN kawasan aku pula iaitu Sungai Pelek memang dari dulu lagi untuk BN ditandingi oleh MCA dan pembangkang pula adalah DAP.  Tahun ni ada dua lagi calon yang bertanding atas tiket KITA dan Bebas.

Apa pun sebagai rakyat Malaysia yang dilandaskan dengan sistem demokrasi, aku tetap akan menjalankan tanggungjawab untuk mengundi calon-calon yang bertanding.  Siapa yang dipilih itu adalah hak peribadi aku tetapi adalah beberapa perkara yang diambil kira.  Nak mengundi mestilah kita buat kajian dulu siapa calon-calon yang bertanding tukan.  Begitu juga dengan parti-parti yang bertanding. 

Undilah dengan bijak agar tidak menyesal di kemudian hari.


P113: SEPANG

Datuk Seri Ir. Mohd Zin bin Mohamed (BN)
Mohamed Hanipa bin Maidin (PAS)
Dato’ Suhaimi bin Mohd Ghazali (Bebas)
Hanapiah bin Mohamad (Bebas)


N56: SUNGAI PELEK

Ng Chok Sin (BN)
Lai Nyuk Lan (DAP)
Zakaria bin Mohd Mukhtar (KITA)
Abdul Manap bin Shahardin (Bebas)


 Barisan calon-calon parti Barisan Nasional untuk Parlimen Sepang dan DUN-DUN di bawahnya (Sg. Pelek, Dengkil, dan Tanjung Sepat)
Kredit foto: Facebook Saksila Lekir

 Barisan calon-calon dari parti PAS dan PKR
Kredit foto: Facebook PAS Sepang

 Parlimen Malaysia yang mendukung pemerintahan negara kita Malaysia

Ahad, 14 April 2013

RAJA POP MALAYSIA


Jamal Abdillah?  Aku pasti sesiapa yang meminati muzik dan lagu di Malaysia ni pasti akan kenal dengan beliau.  Tak kiralah tua atau muda, miskin atau kaya.  Setidak-tidaknya kalau tak minat pun mesti pernah dengar lagu nyanyian beliau.

Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali sememangnya salah seorang penyanyi lelaki yang aku minat sejak dari kecil.  Seingat akulah antara lagu terawal nyanyian beliau yang aku dengar ialah Azura, lagu yang dipetik dari filem Azura yang pecah panggung pada tahun 1984.

Kalau ikut pada sejarah Jamal Abdillah dalam bidang nyanyian ni bermula apabila beliau memenangi Juara Bintang RTM 1979.  Tidak dinafikan pada zaman itu kebanyakan juara yang lahir dari Bintang RTM ini akan meletup selepas itu antaranya ALLAHyarham Sudirman Haji Arshad, Rosemaria, Rohana Jalil, dan Juliza Adlizan. 

Selepas sahaja Jamal menjuarai Bintang RTM 1979 beliau terus disambar oleh komposer tersohor tanah air, Ahmad Nawab (sekarang ini bergelar Datuk Dr.).  Ahmad Nawab sebelum itu sememangnya sudah terkenal kerana berjaya melahirkan penyanyi yang meletup seperti Sharifah Aini, Uji Rashid, ALLAHyarham Latif Ibrahim, Junainah M.Amin, Hail Amir, dan ramai lagi.

Sebenarnya apa yang aku nak ceritakan di sini bukanlah kisah perjalanan Jamal Abdillah sebagai penyanyi kerana ianya dah diketahui secara umumnya.  Cuma di sini aku nak senaraikan lagu-lagu nyanyian beliau yang cukup aku minati.  Memandangkan Jamal dididik oleh Datuk Dr. Ahmad Nawab maka aku senaraikan 10 lagu yang paling aku minat hasil ciptaan Datuk dan 10 lagu lagi lagu ciptaan konposer lain.  Ini adalah pilihan aku sendiri dan pastinya tak sama dengan pembaca yang lain kerana masing-masing ada pilihan sendiri.


10 LAGU CIPTAAN DATUK DR. AHMAD NAWAB

1.         Kabus Di Wajahmu (album Hatiku Luka Kembali, 1982)
2.         Seniman Menangis (album Seniman Menangis, 1990)
3.         Kelihan Perantau (album Perpisahan Tanpa Relamu, 1980)
4.         Perpisahan Tanpa Relamu (album Perpisahan Tanpa Relamu, 1980)
5.         Di Mana Bayanganmu (album Hatiku Luka Kembali, 1982)
6.         Kau Lupa Janji (album Sendiri, 1984)
7.         Kau Pergi Demi Pertiwi (album Layang-Layang, 1983)
8.         Hilanglah Rinduku (album Derita Cinta, 1981)
9.         Senandung Kasih (album Perpisahan Tanpa Relamu, 1980)
10.       Sepi Dalam Penantian (album Sendiri, 1984)


10 LAGU CIPTAAN KOMPOSER LAIN

1.         Kekasih Awal dan Akhir, ciptaan Fauzi Marzuki (album Jamal, 1991)
2.         Azura, ciptaan M. Nasir (OST filem Azura, 1994.  Dirakamkan semula dan dimuatkan dalam album Raja Pop, 2003).
3.         Mati Hidup Semula, ciptaan beliau sendiri (album Mati Hidup Semula, 1986)
4.         Derita Cinta, ciptaan Ismail Ahmad Nawab (album Derita Cinta, 1981)
5.         Ghazal Untuk Rabiah (duet dengan M. Nasir), ciptaan M. Nasir dan beliau sendiri (album Penawar Kasih, 1997)
6.         Hingga Tiba Saat Itu, ciptaan Abbas Bakar (album Untukmu, 1988)
7.         Hatiku Luka Kembali, ciptaan Ismail Ahmad Nawab (album Hatiku Luka Kembali, 1982)
8.         Kenangan Tak Bisa Dilenyapkan, ciptaan M. Nasir (album Untukmu, 1988)
9.         Samrah Mentari, ciptaan Pak Ngah (album Samrah, 1998)
10.       Perjalananku, ciptaan Adnan Abu Hassan (album Mati Hidup Semula, 1986)


***  Dari mula masuk kerja tadi sampailah sekarang aku asyik melayan lagu-lagu Jamal yang dimuatkan dalam album kompilasi 101 Jamal Abdillah.  Ada 6 CD dan harganya hanya RM40.  Rugi kalau tak beli.


 Kredit foto : www.amekaw.com


Ini dia kulit depan album kompilasi 101 Jamal Abdillah

Khamis, 11 April 2013

LIGA JUARA-JUARA EROPAH PERINGKAT SUKU AKHIR



Berakhirlah sudah perlawanan di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang melibatkan 8 pasukan terbaik Eropah.  Seperti yang aku ramalkan dua kelab dari La Liga (Barcelona dan Real Madrid) dan dua kelab dari Bundesliga (Bayern Munich dan Borussia Dortmund) telah pun layak ke peringkat suku akhir.

Aku sebenarnya peminat Bayern Munich tetapi perlawanan yang paling menarik perhatian aku ialah Borussia Dortmund menentang Malaga.  Semasa di peringkat suku akhir pertama di La Rosaleda, Malaga, perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0. 

Jadi dilihat Borussia Dortmund mempunyai kelebihan untuk menang tetapi bila berlangsungnya perlawanan di Signal Iduna Park, Malaga telah menjaringkan gol awal di mana ini telah memberikan kelebihan gol lawan kepada mereka.  Malahan Malaga menambah satu lagi jaringan pada penghujung perlawanan walaupun Dortmund telah menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.

Dengan kedudukan 2-1 memihak kepada Malaga dan masa sebenar perlawanan telah pun  tamat dilihat sudah pasti Malaga akan layak ke separuh akhir.  Tapi hati kecil aku berkata yang Dortmund akan melakukan keajaiban dengan menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan.  Seandainya keputusan seri 2-2 Malaga tetap layak atas tiket peraturan gol di tempat lawan.

Akhirnya apa yang terdetik di hati kecil aku tu betul-betul menjadi kenyataan.  Dua jaringan Marco Reus dan Felipe Santana pada minit ke 91 dan 93 telah menamatkan impian Malaga untuk layak ke separuh akhir buat kali pertama.  Ini mengingatkan aku kepada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 1998/99 di mana Manchester United berjaya menjaringkan dua gol pada masa kecederaan semasa menentang Bayern Munich.

Yang menariknya kepada keempat-empat pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir musim 2012/13 ini ialah mereka semua pernah memenanginya.  Real Madrid pernah menjadi juara sebanyak 9 kali diikuti Bayern Munich dan Barcelona sebanyak 4 kali.  Borussia Dortmund juga pernah memenanginya sekali pada musim 1996/97.  Nampaknya musim ini akan bertambahlah koleksi kejuaraan salah satu pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir ni.

Buat kali pertama juga sejak Liga Juara-Juara ini diadakan dua kelab dari Bundesliga layak ke peringkat separuh akhir.  Seperti yang diketahui oleh peminat bola sepak Eropah, selama ini Liga Juara-Juara dimonopoli oleh kelab-kelab dari La Liga, Barclay Premier League mahupun Serie A.

Pada musim ini juga buat pertama kali perlawanan peringkat separuh akhir ditentukan secara undian semula.  Nampaknya kita kena tunggulah pada hari Jumaat ini selepas perlawanan peringkat suku akhir kedua Liga Eropah berakhir.

Ramalan aku di peringkat separuh akhir ialah Bayern Munich menentang Barcelona manakala Borussia Dortmund akan menentang Real Madrid dan tidak mustahil pertemuan sesama sendiri dari liga yang sama akan berlaku di peringkat akhir.  Kali terakhir dua kelab dari negara yang sama bertemu di peringkat akhir ialah pada musim 2007/08 antara Manchester United menentang Chelsea.

Separuh akhir pertama akan berlangsung pada 23 dan 24 April 2013 manakala separuh akhir kedua akan diadakan pada 30 April dan 1 Mei 2013 nanti.


***  Ada kawan-kawan aku cakap yang Liga Juara-Juara Eropah musim 2012/13 ni tak best sebab tak ada kelab-kelab dari BPL di peringkat suku akhir.  Maaf, AKU TAK SETUJU LANGSUNG. 


 Inilah dia kesebelasan utama pasukan yang paling aku minat, Bayern Munich.
Ini adalah kesebelasan utama semasa menentang Juventus di Juventus Stadium.
Kredit gambar : FB rasmi Bayern Munich

Isnin, 8 April 2013

Assalamualaikum...

Dalam banyak cabang fotografi, subjek yang aku suka 'tembak' selain photojournalist, fotografi jalanan, dan fotografi pengembaraan ialah senibina masjid.  Sebenarnya banyak juga gambar-gambar yang aku dah ambil cuma ianya tidak disusun.  Ada di dalam thumb drive sana, ada di thumb drive sini.  Buat permulaan aku copy paste daripada apa yang pernah ditulis dalam Facebook.

Masjid pilihan aku ini ialah MASJID DIRAJA SULTAN ALAEDDIN, KAMPUNG BANDAR, BANTING. 

Gambar ni aku ambil semasa nak ke Baitul Hilal Bukit Jugra, Banting untuk buat cerapan rasmi anak bulan Syawal 1431H. Walaupun dah banyak kali aku ke kawasan ni tapi belum pernah lagi singgah di masjid ni dan aku shootlah sedikit gambar. Tapi tulah tak dapat nak shoot banyak dan lama sebab ada kerja lain yang perlu dibereskan dan hujan pun dah mula turun. Memang cantik masjid ni.

Masjid ini telah dibina dalam Kampung Bandar pada tahun 1924 oleh Almarhum Sultan Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Masjid ini telah dirasmikan oleh baginda pada tahun 1926. Dan pernah dijadikan Masjid Negeri Selangor pada zaman itu. Ia dibina atas ilham baginda sendiri dan baginda sering membaca khutbah jumaat di masjid ini. Dari segi rekabentuk masjid ini menerima pengaruh dari kerajaan Deli, Medan. Ini berkemungkinan di Sumatera Utara selain daripada ajaran agama islam, unsur-unsur senibina dan sosial masyarakat dari daerah tersebut telah diterapkan pada senibina masjid. (sumber: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor/PADAT).

Terdapat sedikit perbezaan maklumat yang dinyatakan oleh PADAT dengan yang aku perolehi di masjid ini (rujuk gambar ke-2). Pada makulmat yang dinyatakan itu masjid ini dibina pada tahun 1905 serentak dengan pembinaan Istana bandar yang terletak bersebelahan dengan masjid ini. Apa-apa pun Masjid ini telah pun diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapaktanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba pada tahun 1980. 


Bagi aku ini adalah salah satu masjid yang cukup tinggi nilai senibinanya.  Kalau aku ada ke sana pasti masjid ini akan menjadi tempat persinggahan untuk menunaikan ibadah solat.  Tambahan pula Imam masjid ini memang aku kenal rapat malahan kami pernah menjadi rakan sebilik semasa berkursus di Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS), Sabak Bernam.  Selain itu Imam masjid ini sering dipanggil untuk mengiringi bacaan surah Yassin dan tahlil arwah setiap kali Cerapan Rasmi bulan Ramadhan dan Syawal dibuat di Baitul Hilal Bukit Jugra yang terletak kira-kira 5km dari masjid ini.  

Rindunya aku dengan masjid ni...




Penerangan mengenai Masjid Diraja Sultan Alaeddin
 
Pandangan secara keselurahan masjid ini.  Masa gambar ini diambil masjid ini baru sahaja dicat baru.

Kubah utama masjid ini.  Salah satu keunikan yang ada pada masjid ini ialah kubah utamanya akan dikelilingi dengan kubah-kubah kecil secara bertingkat.
 
Menara masjid yang kebiasaannya diletakkan pembesar suara untuk didengari oleh penduduk di dalam kariah masjid ini.

Kubah kedua yang diapit dengan empat kubah kecil

Pandangan kubah utama, kubah kedua dan menara masjid serta kubah-kubah kecil

Ruang solat utama yang diambil gambar dari bahagian beranda

Mimbar dan mihrab masjid.  Lihat sahaja betapa indahnya mimbar ini dengan seni halus yang cukup halus.  Sebenarnya gambar ni aku ambil dalam gelap. Memandangkan portable flash tertinggal dalam kereta maka terpaksalah aku gunakan ISO tinggi (3200), aperture 4.5, dan shutter speed perlahan (0.8"). Tu yang gambar sedikit goyang.
 
 
 



Ahad, 7 April 2013

Tak kemaskini blog...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Tak ada masa?  Sibuk dengan kerja?  Lebih banyak menulis di Facebook atau Twitter?  Itulah yang sering berpusing di fikiranku apabila berbicara mengenai laman blog ini yang kurang aktif.  Hajat di hati memang ingin aktif kembali dan harapnya kali ini menjadi kenyataan.

Rasa menyesal juga kerana membiarkan blog ini tidak dikemaskini dengan apa-apa cerita ataupun kisah hidup aku sendiri yang dirasakan boleh dikongsi bersama dengan pembaca.  Buat rakan-rakan yang selalu berhubung dengan aku di FB memang akan selalu membaca apa yang aku tulis di sana.  Nampaknya aku tak boleh biarkan blog ini tidak dikemaskini.  Kena rajin menulislah selepas ni ya.

In Sha ALLAH aku akan cuba sedaya upaya menghidupkan kembali blog ni.  Sayang rasanya jika ia tidak diisi dengan apa juga ilmu yang dapat dikongsikan bersama.

Tunggu ajerlah ya...